Akaun infaqattaqwadmas.onpay.my telah dibekukan. Segala kesulitan yang dialami adalah amat dikesali.

Mari Beramal Dengan Pahala Berterusan Hingga Ke Akhirat

Mari Beramal Dengan Pahala Berterusan Hingga Ke Akhirat


Seluruh jawatankuasa dan warga kariah Kg. Durian Mas, Kuala Terengganu sangat mengalu-alukan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan bagi menjayakan misi mengumpul dana bagi pembinaan tempat parkir tambahan. Tiada tempat lain di sekitar surau ini melainkan parit besar di hadapan surau. Jadi, cadangan ini telahpun diangkat ke Jabatan Parit Dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu dan persetujuan telahpun diperolehi iaitu dengan meletakkan culvert dan kemudiannya barulah dikambus. Kini kami sedang giat mengumpul dana bagi membiayai pembinaan ini.

Mudah-mudahan usaha ini diberikan ganjaran yang sebaiknya oleh Allah SWT. Sudah tentulah mereka yang menginfaq juga memperolehi ganjaran yang sama berupa pahala yang berkekalan hingga Yaumul Akhirah, Insha Allah.


INFO ASAS


Nama: Surau At-Taqwa

Alamat: Kg. Durian Mas Manir, 21200 Kuala Terengganu.

Surau ini terletak di tengah-tengah kawasan penduduk kampung yang majoritinya adalah petani, penternak dan tukang rumah. Ringkasnya 'kerja kampung'.


Kedudukannya kira-kira 20 km dari bandar Kuala Terengganu. Mula diimarahkan pada tahun 2014.


Setinggi-tinggi syukur ke hadhrat Allah SWT, surau ini telah memberikan prasarana ilmu fardhu 'ain kepada para penduduk yang berada di sekitar kawasan ini agar dapat memenuhi kewajipan terhadap agama Islam kerana mereka semua perlu menjawab soalan-soalan Allah di akhirat nanti.



SEJARAH


Alhamdulillah, pada dua tahun lepas, hasil sumbangan tuan-tuan, kami berjaya menyiapkan menara azan. Pada tahun lepas pula, sekali lagi kami berjaya membeli dan memasang karpet sehingga jemaah dapat beribadat dan menuntut ilmu dengan selesa. Semuanya infaq dari tuan-tuan yang berjiwa dermawan. Jazakumullahu khairan jaza. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Di akhirat nanti, tuan-tuan akan dapat melihat betapa besarnya ganjaran Allah terhadap apa yang telah tuan-tuan dermakan dengan ikhlas itu.

gambar dalam surau

Ramadhan datang lagi pada tahun ini. Tahun 1444H. Pastinya mereka yang dijemput oleh Allah untuk sampai ke Ramadhan ini umpama seorang rakyat yang dijemput oleh Si Rajanya untuk masuk ke dalam sebuah gedung yang penuh dengan harta dan kemewahan. Lalu Si Raja mempersilakan Si Rakyat itu untuk mengambil apa saja yang diingininya, melalui amalannya. Bebas sebebasnya...

Ketahuilah bahawa sedekah merupakan satu amalan yang sangat besar ganjarannya untuk diberikan kepada sesiapa saja yang berinfaq dengan ikhlas.



Surau At-Taqwa telah menambahkan aktivitinya terutama bagi menyediakan tempat untuk memenuhi tuntutan fardhu 'ain penduduk setempat melalui kuliah-kuliah Maghrib seperti berikut:

Ahad - Fiqh (Matla'al Badrain)
Isnin - Aqidah (Faridatul Faraid)
Selasa - Hadis, Aqidah & Akhlak (Sairus Salikin dan 40 Hadis Penawar Hati)
Rabu - Akhlak (40 Hadis Akhlak Mulia)
Khamis - Tajwid
Jumaat - Hadis & Tasawuf (Riyadhus Salihin dan Al-Hikam)
Sabtu - Siyasah (Mauizhah dan Taujihat Nabawiyah)

Selepas solat Subuh pula, akan diadakan tazkirah menggunakan kitab Fadhilat Amal (susunan Al hafizh Dhiyauddin Muhammad Bin Abdul Wahid Al Maqdisy) yang mengumpulkan hadis-hadis hasan dan sahih bagi memotivasikan jemaah dengan amalan-amalan yang berganda pahalanya. Begitu juga dengan petang Jumaat selepas Asar.
Kami juga menganjurkan kuliah-kuliah khas seperti Ma'al Hijrah, Maulidurrasul, Israk Mi'raj, Nisfu Syaaban dan lain-lain.
Pada bulan Ramadhan tahun 2023 ini pula, Surau At Taqwa akan diimarahkan oleh imam jemputan hampir seluruh malam yang akan mengimami solat Terawih sebanyak 8 rakaat dan tazkirah.
Jamuan-jamuan makan pula agak kerap diadakan terutama selepas kuliah dan sempena hari-hari peringatan seperti hari Asyura dan sambutan 'Eidulfitri. Begitu juga sepanjang Ramadhan, akan diadakan iftar jama'ie pada hari-hari tertentu dan moreh.
Jadi, keperluan untuk menyediakan tempat makan dan parkir sangat penting untuk memudahkan para jemaah. Selama ini, surau ini, yang berada bersebelahan dengan longkang dan parit besar menyebabkan tempat parkir sangat terhad. Jamuan makan pula terpaksa diadakan di dalam surau yang sentiasa berisiko untuk minuman dan kuah makanan untuk tumpah ke atas karpet.
Maka sebab itulah, Jawatankuasa memutuskan untuk membuat pembangunan tambahan iaitu membina tempat parkir dengan menutup parit besar di hadapan surau dengan culvert. Tempat parkir ini juga kelak, insha Allah boleh digunakan sebagai tempat jamuan dan aktivi-aktiviti kemasyarakatan seperti ibadah qurban dan lain-lain.
Mudah-mudahan amal soleh yang dilakukan di surau ini juga menjadi amal soleh kepada penderma di seluruh Malaysia, mungkin juga di seluruh dunia.
Justeru sempena Ramadhan ini kami menjemput para dermawan yang ikhlas untuk menghulurkan sumbangan melalui akaun yang tertera. Kami berdoa mudah-muhahan kita semua akan dikumpulkan oleh Allah di syurga-Nya yang abadi. Aamiin...



Nota:
1. Akaun ini adalah atas nama peribadi, iaitu akaun simpanan setiausaha, namun akaun ini 100% digunakan untuk surau.
2. Setiap sen yang masuk ke dalam akaun ini akan dilapurkan ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Surau.
3. Update derma atau sumbangan akan dilakukan secara online, jadi, kami tidak memerlukan apa-apa resit.
4. Jika anda memerlukan resit dan dokumen pembayaran, isikan butir-butir di bawah setelah anda bank-in atau transfer.